Thursday 25 September 2014

Mari Berpantun..
 
Pantun Bahasa Jiwa Bangsa

1.
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,Yang baik itu budi,Yang indah itu bahasa.
Nak kucurahkan rasa,
Tiada gambar seindah lukisan,
Nak kutunjukkan perasaan.
Tiada bahasa secantik puisi,
Nak kucurahkan isi hati.

2.
Tiada kata secantik bahasa,
Nak kucurahkan rasa,
Tiada gambar seindah lukisan,
Nak kutunjukkan perasaan.
Tiada bahasa secantik puisi,
Nak kucurahkan isi hati.

3.
Sedap makan kacang kelisa,
Buah peria pahit dan maung,
Bahasa menggabungkan etnik bangsa,
Satu Malaysia sama bernaung.

Monday 8 September 2014

ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU

1. IKHLAS NIAT – Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah memberi amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak susah untuk ikhlas di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang berada dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita terlupa bahawa ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya membawa perubahan kepada keislaman. Jadikanlah diri kita sebagaimana padi yang mana semakin semakin berisi semakin tunduk ke bumi kerana rendah diri. Jangan jadi sebagaimana lalang yang tinggi semakin mendongak ke langit kerana sombong. Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas dalam menuntut ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah diri. Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah :.........Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.

2. TEKUN BERUSAHA DAN TAWAKKAL - Sentiasa bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat diatasi dengan membaca nota atau buku-buku yang kecil dan ringan atau mendengar kaset ceramah agama yang berbahasa Melayu dan sebaiknya berbahasa Arab.Perkara ini mampu melembut hati kita kerana sesiapa yang menjauhi nasihat ataupun tazkirah diri ditakuti Allah akan mengeraskan hatinya sebagaimana firman Allah dalam ayat 5 surah as-Sof yang bermaksud : Dan ingatlah ketika mana nabi Musa berkata kepada kaumnya :"Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu mengetahui bahawa aku ini adalah utusan Allah kepadamu?". Maka tatkala mereka buat endah tak endah sahaja lalu Allah memalingkan hati mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kerpada kaum yang fasik. Ayat ini walaupun menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya terus kekal hingga sekarang untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Kita juga hendaklah mewujudkan suasana sekeliling terutama di rumah dengan budaya ilmu bukannya budaya yang dipenuhi dengan cara mewah dan kesenangan serta hiburan yang boleh menghilangkan perasaan semangat untuk menambah ilmu dan pengetahuan.Kita hendaklah mencontohi ulama'-ulama' silam yang mana mereka belajar dalam keadaan susah tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam suasana belajar bukannya mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya perasaan bersungguh untuk belajar.Disamping itu kita mestilah bertawakkal kepada Allah agar kejayaan diimpikan akan menjadi milik kita.Tawakkal yang dilakukan mestilah mencukupi syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah natijah ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.

3. MENJAUHI MAKSIAT – Kita mestilah menghidupkan budaya amar ma’ruf dan nahi munkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa. Cubalah sedaya yang mungkin di dalam menghindari kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan menuju ke arahnya.Jangan sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat untuk bertapak di hati kita. Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak endah sahaja terhadap perkara maksiat ini yang mana ia boleh menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih besar lagi. Di zaman sekarang ramai orang memandang maksiat yang kecil seperti maksiat mata, mulut, telinga, tangan(internet ataupun tulisan) serta pergaulan antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin hanya suatu perkara yang biasa dan dirasakan ia bukannnya maksiat dan mereka hanya menganggap hanya dosa besar seperti berzina, mencuri, memukul orang dan lain-lain lagi sahaja sebagai maksiat. Dosa yang kecil jika dibuat berterusan akan menjadi dosa besar.

4. MEMILIH TEMAN YANG SOLEH - Pilihlah teman yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain di dalam rumah kita sendiri samada berbentuk rasmi seperti diskusi kitab atau melalui perbincangan yang tidak rasmi setiap hari.Loqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya. Disamping itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar. Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang terpengaruh dengan cara hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud :Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa. Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi dan Abu Daud : Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman.
Tazkirah 1:

Daripada Ibu & Sumayyah q.a : Al-Kisah ...Alangkah Bagusnya Bila Anda...

*Bila anda sedang marah ...anda akan rasa wajah hodoh dan perangai anda ketika itu dilihat oleh orang lain.
*Bila anda ingin berdua-duaan dengan mak we anda...anda akan terfikir apakata kalau orang lain sedang berdua-duaan dengan adik atau anak anda.
*Bila anda mempersendakan orang lain dengan perkataan yang kurang sopan, anda akan terfikir apa kata kalau diri anda yang kena persenda dan orang di sekeliling sedang memerhatikan perangai buruk anda itu.
*Bila anda mencuri harta benda orang, anda akan terfikir apa kata kalau duit dan harta yang anda simpan secara bersusah payah lesap dalam sekelip mata dicuri oleh orang lain pula.
*Bila anda menipu, anda terfikir bagaimana pula perasaan kalau anda ditipu.
*Bila anda berasa megah kerana banyak harta dan boleh membeli apa sahaja, anda terfikir pula saat-saat anda susah dahulu dan ramai lagi yang hidup susah di sekeliling anda.
* atau, bila anda ingin berbuat sesuatu yang dimurkai Allah swt; anda tahu Allah Maha Mengetahui dan anda bakal menerima balasan di akhirat kelak, sekiranya anda meneruskan niat buruk anda itu.


Tazkirah 2:

Menurut ulamak, terdapat 15 Pintu Syaitan yang ada di dalam diri kita, yang digunakannya untuk merosakkan iman dan akhlak kita, iaitu:
1. Pintu marah                  
2. Bakhil (kedekut)                           
3. Buruk sangka
4. Cinta dunia                   
5. Suka kepada pujian                     
6. Memandang rendah pada  orang lain
7. Bodoh sombong           
8. Riyak                                          
9. Merasa suka kepada dosa.
10. Panjang angan-angan      
11. Ujub (kagum diri sendiri)             
12. Merasa aman kepada pembalasan Allah
13. Rakus/tamak                 
14. Takut dan gelisah                        
15. Berputus asa dpd rahmat Allah


Tazkirah 3: 

PERHATIKAN DIRI.
Orang kata kita syaitan,kita marah, sedangkan kita memiliki sifat-sifat syaitan. Cuba semak diri kita, apakah kita:
*  seorang yang pemarah, cepat marah dan suka marah-marah?
*  seorang pendendam dan menyimpan hasad dalam diri?
*  seorang bakhil dan amat cintakan harta?
*  seorang yang tamak dalam apa jua hal, bahkan makanan dan percakapan?
*  seorang yang suka bermegah-megah dengan barang berhias, kecantikan mahupun anak-anak?
*  seorang yang kagum dengan diri sendiri dan sangat riyak?
*  seorang yang alpa kepada suruhan perintah Allah swt dan meninggalkan larangan-Nya?.